KUALA LUMPUR – Sukan Olimpik Musim Sejuk ke-23 dan Sukan Paralimpik akan diadakan di PyeongChang, Korea Selatan pada Feb 2018.
Ia dijangka Olimpik Musim Sejuk terbesar dalam sejarah melibatkan anggaran 3,000 atlet dari seluruh dunia yang akan bertarung untuk merebut lebih 100 pingat emas.
Sebagai Duta Republik Korea ke Malaysia, saya berasa amat gembira kerana bulan hadapan Malaysia buat pertama kalinya akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik ini. Oleh yang demikian, PyeongChang 2018 sudah tentunya akan menjadi lebih bermakna untuk hubungan kedua-dua negara.
Kerajaan Korea sedang meningkatkan usaha untuk memastikan kejayaan menganjurkan Sukan ini yang akan turut memaparkan kemajuan tinggi negara kami dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Ini termasuk menawarkan teknologi 5G terpantas di dunia.
Sebagai tambahan, untuk usaha meningkatkan akses kepada atlet serta pelawat, kereta api berkelajuan tinggi dilancarkan bulan lepas bagi mengurangkan masa perjalanan dari Seoul ke PyeongChang, daripada tiga jam kepada hanya sejam.
Perkhidmatan kereta api laju itu juga memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon daripada tiga jam 30 minit kepada hanya 98 minit.
Sukan Olimpik PyeongChang 2018 dan Sukan Paralimpik boleh disimbolkan kepada tiga kata kunci utama.
Kata kunci pertama ialah “Impian” – Olimpik PyeongChang adalah medan untuk orang memburu impian dan menjadi kenyataan. Sukan Musim sejuk terutamanya lebih berkembang maju di negara yang mempunyai musim sejuk yang panjang. Makanya, hanya beberapa buah negara di hemisfera utara sejak sekian lama menguasai Olimpik Musim Sejuk ini.
Korea telah mengambil bahagian dalam Olimpik Musim Sejuk sejak sukan itu diperkenalkan pada 1948 di St Moritz, Switzerland. Bagaimanapun kami tidak memenangi sebarang pingat sehingga Olimpik Musim Sejuk Calgary pada 1988.
Korea memenangi empat pingat termasuk dua pingat emas pada Olimpik Albertville 1992. Pada Olimpik Musim Sejuk Vancouver 2010, Korea menduduki tangga ke-lima dengan enam emas. Pingat-pingat itu dimenangi dalam acara trek pendek, ‘speed skating’ dan ‘figure skating’ – ini yang menjadi impian rakyat Korea sejak sekian lama.
Berlatar belakangkan pencapaian ini, Kerajaan Korea pada 2004 memperkenalkan “Program Impian” bagi memberi peluang kepada golongan belia yang kurang berkesempatan untuk menikmati cuaca musim sejuk mengalami sukan musim sejuk.
Lebih 1,900 orang dari 83 buah negara menyertai program ini setakat ini, termasuk 55 orang atlet muda Malaysia.
Menjadi hampir satu keajaiban untuk Malaysia yang beriklim musim panas sepanjang tahun untuk mempunyai atlet sukan ski dan ‘figure skating’.
Saya percaya PyeongChang 2018 akan menjadi pentas untuk atlet Malaysia menjadikan impian mereka satu kenyataan.
Atlet Malaysia Julian Yee mencipta sejarah baru-baru ini untuk muncul sebagai atlet ‘figure skating’ pertama Malaysia layak ke Olimpik Musim Sejuk 2018. Beliau adalah seorang daripada peserta Program Impian.
Kita akan dapat menyaksikan atlet Malaysia mencapai impian mereka di PeongChang 2018.
Memandangkan atlet Malaysia memenangi dua pingat emas dalam acara ‘figure’ dan ‘speed skating’ pada Sukan SEA ke-29 tahun lepas, penyertaan sulung Malaysia dalam Sukan Olimpik di PyeongChang 2018 boleh menjadi titik perubahan dalam sejarah sukan negara ini.
“Lembaran Baru” adalah kata kunci kedua yang menjadi simbol kepada Olimpik PyeongChang kerana sukan ini akan membuka lembaran baru di Korea Selatan juga Asia.
PyeongChang 2018 akan menjadikan Korea Selatan negara ke-lima yang menganjurkan empat acara sukan utama termasuk Olimpik Musim Panas 1988 Seoul, Piala Dunia 2002 FIFA dan Kejohanan Dunia Olahraga IAFF (International Association of Athletics Federations) dalam tempoh yang singkat.
Kejayaan Korea menganjurkan PyeongChang 2018 sudah pasti membuka lembaran baru di Korea dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, kebudayaan, alam sekitar dan ekonomi.
Tiga puluh tahun selepas Sukan Olimpik Seoul 1988 yang menjadi peluang untuk memperkenalkan Korea kepada dunia, PyeongChang 2018 adalah peluang keemasan untuk menunjukkan kepada dunia pencapaian Korea sejak tiga dekad lalu.
Korea Selatan kini adalah ekonomi ke-11 terbesar di dunia dengan amalan demokrasi yang kian berkembang.
PyeongChang 2018 adalah permulaan kepada lebih banyak Sukan Olimpik yang akan diadakan di Asia pada tahun-tahun akan datang iaitu Olimpik Musim Panas Tokyo 2020 dan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 2022.
Menjadi hasrat kami untuk mengalihkan pentas penganjuran sukan antarabangsa ke Asia dengan memperkenalkan Korea Selatan dan Asia sebagai hab sukan musim sejuk.
“Demi Keamanan” adalah kata kunci ketiga yang jelas menggambarkan PyeongChang 2018. Korea Selatan telah meraih banyak pengalaman serta kemampuan menganjurkan acara bertaraf dunia.
Di tengah-tengah kebimbangan keselamatan termasuk tindakan provokasi berterusan Korea Utara, Korea Selatan berjaya menganjurkan banyak acara besar seperti Olimpik Musim Panas Seoul 1988, Piala Dunia FIFA 2002 dan Sidang Kemuncak G20 pada 2010.
President Moon Jae-in juga melahirkan tekad beliau untuk memastikan Sukan Olimpik musim sejuk ini akan menyumbang bukan sahaja kepada keamanan di Semenanjung Korea tetapi juga di dunia.
Kerajaan Korea akan berusaha menjadikan PyeongChang 2018 Sukan Olimpik paling hebat dalam semua aspek termasuk keselamatan dan operasi.
Kami telah membuat persediaan yang rapi bagi memastikan kelancaran serta keselamatan operasi Olimpik Musim Sejuk dengan menyiapkan 25 ujian acara, disertai lebih 5,000 atlet dari 45 buah negara.
Saya amat yakin PyeongChang 2018 akan menjadi peluang terbaik untuk kedua-dua Korea dan Malaysia meningkatkan hubungan dua hala.
Saya ingin menyakinkan anda semua musim sejuk ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Malaysia serta pelancong lain untuk berkunjung ke Korea kerana banyak acara yang akan berlangsung sempena Olimpik Musim Sejuk PyeongChang.
Setulus ikhlas hati saya berharap rakyat Malaysia akan turut memeriahkan Olimpik PyeongChang 2018, bukan sahaja untuk memberi sorakan semangat kepada atlet Malaysia tetapi juga menikmati percutian yang indah di Korea. – BERNAMA