SEREMBAN – Polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang aktif di negeri ini dalam satu serbuan di sebuah rumah berhampiran Taman Rasah Jaya dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Mohd Faisal Yahya berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 39 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Hasil daripada operasi tersebut, pihak kami berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 260.8 gram dan syabu dengan anggaran 12.2 gram bernilai RM5,084.
“Pihak polis turut menyita sebuah motosikal dan kereta yang dimiliki suspek dengan nilai sitaan sebanyak RM11,730,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Suspek ditahan reman sejak Jumaat lepas sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faisal berkata pihak JSJN sepanjang tempoh minggu pertama bulan ini, telah memberkas pengedar dadah terdiri daripada 18 lelaki dan dua perempuan berumur dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun.
Beliau berkata pelbagai jenis dadah turut dirampas antaranya heroin, ganja, ketamin, Erimin 5 dan syabu dengan jumlah anggaran rampasan bernilai RM17,088.
“Selain itu, antara aset-aset milik suspek iaitu kenderaan, wang tunai dan barang kemas turut disita yang dianggarkan berjumlah RM48,397,” katanya.
Mohd Faisal turut menyeru supaya masyarakat awam prihatin dan tampil untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya dapat memerangi dadah habis-habisan di negeri ini. – BERNAMA

