KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menuduh pihak polis bertindak keterlaluan kerana menghantar seramai 20 anggota semata-mata untuk menahan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Malaysia, Eric Paulsen di bawah Akta Hasutan 1948 malam tadi.
Exco AMK, Murnie Hidayah turut mendakwa pihak polis bertindak keterlaluan dalam kes tersebut kerana Eric Paulsen kononnya telah bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis sebelum ini.
“Tindakan pihak polis ini langsung tidak wajar dan tidak berkadaran (disproportionate), merupakan suatu ‘show of force’ dan menjurus kepada penganiyaan terpilih.
“Apatah lagi dengan tweet-tweet Ketua Polis Negara tentang penangkapan saudara Eric Paulsen yang menggambarkan seolah-olah seorang penjenayah besar yang lama dikehendaki polis telah berjaya ditahan,” dakwanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Murni mendakwa, Eric memaklumkan pihak polis langsung tidak menyoalsiasat beliau selepas ditahan malam tadi.
“Saya juga mempersoalkan mengapa beliau perlu direman kerana kesalahan yang kononnya dilakukan boleh disiasat tanpa perlu menahan beliau,” dakwanya. – mynewshub.cc

