
KUALA LUMPUR – Langkah penggabungan tiga institusi kewangan tempatan bagi membentuk bank Islam terbesar di dunia akhirnya tidak menjadi kenyataan, kata sumber perbankan kepada agensi berita antarabangsa Reuters di sini hari ini.
Sumber yang rapat dengan isu tersebut memberitahu, CIMB Holdings, RHB Capital Berhad dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) membatalkan usaha penggabungan ketiga-tiga entiti itu yang dijadualkan untuk pelaksanaan pada tahun ini.
Sekiranya tiga institusi berpengaruh itu berjaya meneruskan rancangan penggabungan tersebut, Malaysia bakal memiliki sebuah kumpulan bank Islam terbesar di dunia dengan aset keseluruhan bernilai kira-kira AS$190 bilion (RM675 bilion).
Satu pengumuman secara rasmi mengenai pembatalan isu penggabungan itu bakal diumumkan seawal-awalnya pada Rabu ini selepas ahli-ahli lembaga pengarah CIMB mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan usul berkenaan.
Sistem perbankan secara Islam mula beroperasi di Malaysia pada 1963 apabila kerajaan menubuhkan Perbadanan Wang Simpanan Bakal Haji yang kini dikenali sebagai Tabung Haji namun ia lebih terhad kepada urusan kewangan jemaah haji.
Pada 1983, Bank Islam Malaysia Berhad muncul sebagai institusi perbankan komersial pertama sebelum kerajaan membenarkan semua bank konvensional mewujudkan skim Perbankan Islam pada 1993 terbuka kepada penyimpan bukan Muslim.
Bank Melli Iran muncul institusi perbankan Islam terbesar dunia dari segi aset iaitu AS$46 bilion (RM163 bilion) malah kesemua bank Islam di republik itu jika digabung aset kewangan Islam juga paling besar di dunia dengan AS$236 bilion (RM838 bilion).
Dari segi modal berbayar, Al Rajhi Bank Arab Saudi yang diasaskan pada 1957 adalah paling besar di dunia dengan 17 bilion riyal (RM16 bilion) dan bank itu mula membuka cawangan luar negara pertama di Malaysia pada 2006 sebelum ke Kuwait dan Jordan.
Dianggarkan ada lebih 300 buah bank Islam dan 250 dana amanah patuh syariah di seluruh dunia dengan aset keseluruhan lebih AS$2 trilion (RM7.1 trilion) yang mencatatkan pertumbuhan aktif tahunan kira-kira 19 peratus. – Agensi

