LAHAD DATU – Tanjung Atiam yang terletak kira-kira 136 kilometer dari bandar Lahad Datu bakal dijadikan lokasi mencerap anak bulan Ramadan dan Syawal di Malaysia.
Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata Tanjung Atiam merupakan kawasan strategik dengan kedudukan paling timur di Malaysia, menjadikannya sesuai bagi tujuan menentukan hari penting untuk umat Islam negara ini.
Beliau ditemui sempena lawatan kerjanya bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah ke Tanjung Atiam dan Kampung Tambisan dekat sini.
Bagaimanapun Bungsu berkata perancangan untuk meninjau lokasi itu belum terlaksana ekoran keadaan laluan ke kawasan itu tidak mengizinkan kerana terjejas banjir.
Pada 15 Sept 2004, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia merekodkan Tanjung Atiam yang terletak dalam mukim Tambisan sebagai kawasan Titik Rujuk Paling Timur Malaysia. – BERNAMA