MAHKAMAH Persekutuan pada Selasa, akhirnya memutuskan kedua-dua tertuduh kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Namun, tertuduh kedua iaitu Koperal Sirul Azhar Umar gagal muncul di mahkamah bagi mendengar prosiding kehakiman terhadapnya.
[WAJIB BACA INI: Kronologi Kes Bunuh Berprofil Tinggi, Altantuya Shaariibuu]
Menurut peguambelanya, Kamarul Hisham Kamaruddin, dia terputus hubungan dengan anak  guamnya itu kira-kira enam bulan lalu.
Kedua-dua mereka saling tidak berhubung semenjak pendengaran kes tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun sehingga 25 Jun, dan mengakui tidak tahu keberadaan anak guamnya kini.
“Kali terakhir saya menghubungi anak guam saya, mungkin seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan, selepas itu saya tidak dapat menghubungi Sirul. Saya tidak tahu langsung di mana dia berada.
“Berdasarkan perhubungan terakhir dengannya, saya langsung tiada asas untuk mengatakan bahawa beliau berkelakuan aneh. Saya ada sebab untuk percaya bahawa beliau akan hadir untuk keputusan hari ini.”
Namun demikian, dia tidak menyifatkan situasi ketiadaan Sirul sebagai ‘hilang’ dan hanya membuat andaian bahawa tertuduh tidak menerima notis untuk hadir ke mahkamah.
Dalam kehakiman hari ini, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun lalu lantas menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua tertuduh.
Panel lima hakim turut bersetuju terhadap permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul yang gagal hadir ke mahkamah.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan menjejaki bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.
Pihak polis juga akan menyiasat sama ada Sirul bertindak ke luar negara setelah Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membebaskan dia.
“Sebaik sahaja mahkamah mengeluarkan waran tangkap, kami akan menjejakinya dan memaklumkan rakan kami di luar negara,” kata Khalid. – MYNEWSHUB.CC
Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin Memberi Komen Terhadap Prosiding Mahkamah Kes Altantuya



