JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru rakyat di negeri ini supaya menggandakan usaha bagi membangunkan 10 tahun akan datang sebagai Dekad Baharu Johor.
Mohamad Khaled berkata sebagai sebuah negeri yang dipimpin oleh prestasi dan pencapaian, 2018 harus menjadi satu lagi tahun yang diisi dengan pelbagai kejayaan dan penambahbaikan.
“Segenap sudut dan aspek pentadbiran serta pembangunan negeri Johor harus dihalakan ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan keharmonian sosial.
“Tugas serta tanggungjawab besar ini adalah amanah yang harus disahut dan dipikul oleh semua pihak dalam Team Johor,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Mohamed Khaled berkata secara peribadi dan bagi pihak kerajaan negeri, beliau menyeru semua rakyat Johor untuk menanam azam dan tekad yang besar untuk tanah air tercinta.
Beliau berkata kemajuan dan lonjakan Johor untuk menjadi sebuah negeri terbaik harus hadir sebagai aspirasi semua secara bersama.
“Ia harus menjadi azam baharu kita semua. Bukan iltizam sesetengah pihak sahaja.
“Dekad Baharu Johor adalah aspirasi dan nuansa yang menghimpunkan segala-gala yang terbaik untuk negeri dan masyarakat Johor. Ia bukan satu slogan politik. Tetapi ini adalah panggilan dan tugas patriotik untuk Johor, negeri yang kita diami dan angkat sebagai tanah tumpah darah,” katanya.
Menteri Besar Johor turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua rakyat Johor yang telah memberikan sehabis baik untuk negeri Johor sepanjang tahun 2017.
“Sempena hadirnya tahun baharu 2018 ini, saya harap kita semua akan dapat terus mempamerkan komitmen serta kesungguhan yang jauh lebih baik. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar cita-cita kita untuk membangunkan Dekad Baharu Johor ini bukan sahaja berjalan lancar dan berjaya, tetapi dipermudahkan oleh Yang Maha Esa,” katanya. – BERNAMA

