KUANTAN – Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pelatih sesi September 2017 yang telah berjaya menamatkan Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) telah berlangsung baru baru ini di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Program ini adalah merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat China Communications Construction Company (CCCC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan UMP. Ia mensasarkan jumlah penglibatan seramai 3,600 pelatih PLKI-ECRL menjelang 2022.
Seramai 49 pelatih yang terdiri daripada 20 orang pemegang Diploma dan 29 orang pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan telah menjalani latihan selama 3 bulan untuk meningkatkan kemahiran teknikal di dalam industri pembinaan rel kereta api.
Para pelatih yang telah berjaya menamatkan latihan ini berpendapat bahawa PLKI-ECRL adalah satu pengalaman yang bermanfaat melalui perkongsian ilmu tentang industri rel oleh profesor-profesor teknologi kereta api dari Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University dari China.
“Bagi saya, PLKI-ECRL merupakan peluang keemasan untuk saya tingkatkan pengetahuan dalam subjek kejuruteraan rel dan lebih menarik lagi, saya juga bakal menjadi sebahagian daripada tenaga kerja fasa pembinaan ECRL. Semestinya, ilmu yang diperolehi daripada PLKI-ECRL ini akan membantu saya untuk bekerja di dalam industri rel kelak,” kata Ahmad Fauzan Soberi, pelatih pengambilan sesi September 2017 PLKI-ECRL.
Sebuah majlis makan malam telah diadakan untuk meraikan kejayaan kesemua 49 pelatih yang turut menjadi penutup bagi PLKI-ECRL sesi September 2017. Para pelatih juga dipertontonkan dengan tayangan multimedia yang memaparkan aktiviti di dalam kelas dan tugasan praktikal yang telah dilakukan sepanjang 3 bulan latihan tersebut. Kesemua 49 pelatih turut menerima Sijil Penghargaan diatas penglibatan mereka dalam program ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, kesemua 49 pelatih PLKI-ECRL akan ditawarkan pekerjaan di MRL, China Communications Construction Company (CCCC) atau sub-kontraktor yang terlibat mulai bulan Januari 2018.
Selain sesi September 2017, seramai 148 pelatih lagi yang terdiri daripada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia bagi pengambilan sesi Disember 2017 PLKI-ECRL sedang giat menjalani latihan peningkatan kemahiran di Insitut Kemahiran Tinggi Negara (IKTBN), Bachok, Kelantan dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kuala Berang, Terengganu. Pengambilan sesi kali ini merangkumi 6 jenis kemahiran iaitu, concretor, formworker, barbender, hydraulic excavator, wheel loader dan tester.
Sebagai salah satu usaha Kerajaan untuk terus memupuk minat anak-anak muda Malaysia menguasai bidang teknologi kereta api dan menimba pengalaman dalam industri rel menerusi kelas-kelas berfokuskan amali dan latihan praktikal, PLKI-ECRL adalah cetusan idea YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, bagi merekrut graduan muda dalam bidang Kejuruteraan.
Pengambilan baru untuk program ini sedang berlangsung dan pendaftaran atas talian bagi sesi Februari 2018 telah dibuka mulai 13 Disember 2017 sehingga 3 Januari 2018. Untuk maklumat lebih lanjut tentang PLKI-ECRL sila layari www.mrl.com.my. – MYNEWSHUB.CC

