KEMAMAN – Kementerian Kesihatan akan menaik taraf empat klinik desa di Terengganu kepada klinik kesihatan berikutan ia sering dinaiki air, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Dr Hilmi berkata selain di Terengganu pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa lagi klinik yang terlibat di seluruh negara.
Katanya langkah yang dilakukan itu bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar terpaksa ditanggung setiap kali bencana itu melanda.
“Di Terengganu kita akan menaik taraf klinik di daerah Dungun dan Kemaman yang melibatkan Klinik Desa Seberang Tayor dan Pasir Gajah manakala bagi daerah Dungun ia meliputi Klinik Desa Pasir Raja dan Kuala Jengai.
“Memandangkan klinik desa tersebut sering ditimpa bencana banjir, jadi kita telah melakukan persiapan awal dengan mengalihkan peralatan serta ubatan di suatu tempat yang tinggi,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan di Hospital Kemaman, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohamad Nor.
Menurut Dr Hilmi, kos kira-kira RM5 juta diperlukan bagi menaik taraf sebuah klinik kesihatan tersebut bersama fasiliti yang lengkap.
Jelasnya setakat ini pihaknya sedang mengenal pasti lokasi strategik bagi membina klinik tersebut agar tidak terjejas jika berlaku bencana banjir.
Beliau berkata sekurang-kurangnya tempoh tiga tahun diperlukan bagi membina kesemua klinik tersebut.
“Buat sementara waktu ini, kita menggunakan khemah bagi para pesakit mendapatkan rawatan seperti demam, selesema dan termasuklah kes-kes yang lain,” katanya.
Bagaimanapun pihaknya akan menambah baik kemudahan rawatan ini ke dalam kabin secara berperingkat sebelum klinik kesihatan yang bakal dibina ini dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA

