KUALA TERENGGANU – Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan memohon kerajaan supaya menggantikan semula tukun dan unjam yang musnah yang dipasang sepanjang perairan Johor hingga Kelantan.
Pengerusinya Hassan Ismail berkata tukun-tukun yang diturunkan ke laut sejak 40 tahun lalu dengan kos kira-kira RM50 juta didakwa musnah akibat penggunaan pukat tarik yang digunakan bot laut dalam yang dipercayai didalangi nelayan warga asing.
“Bot-bot warga asing yang besar disewa ‘orang-orang tertentu’ kalangan bukan nelayan, yang memperoleh lesen laut dalam, bermaharajalela di laut negara ini dan hasil tangkapan dijual di tempat lain.
“Kami mahu kerajaan menyekat pengeluaran lesen laut dalam kepada mereka yang menggunakan bot warga asing ini kerana mereka bukan nelayan tulen manakala hasil tangkapan tidak dijual di sini iaitu menghilangkan hasil negara,” katanya.
Beliau berkata biasanya semasa musim tengkujuh seperti sekarang banyak ikan, udang dan lain-lain hidupan marin bermain-main di tukun dan unjam sebagai sarang hidupan laut dan nelayan pantai boleh mengambil kesempatan mencari rezeki.
“Tetapi setelah sarang-sarang ikan itu musnah, nelayan pantai sukar mencari rezeki mendapatkan hasil bagi menyara keluarga mereka,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat membina semula tukun-tukun yang musnah itu di sepanjang perairan berkenaan bagi menambah hidupan marin. – BERNAMA

