KUALA LUMPUR — Seorang kartunis bebas didenda RM1,500 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu pada Oktober lepas.
Majistret Adira Adnan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Amri Mohamad Noh, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki satu tiub straw mengandungi dadah itu seberat 0.22 gram di tepi Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, di sini pada 3 petang, 19 Okt lepas.
Lelaki itu yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Khairul Naim Rafidi memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rashid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah methamphetamine ke dalam badan, melalui ujian air kencing, di tandas pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Jalan Radin Anum (1) Bandar Baru Seri Petaling, di sini pada 4.50 petang pada tarikh sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Amirul Asyraf menawarkan wang jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin namun Khairul Naim memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM800 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. — BERNAMA

