KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mempertahankan saranan supaya lebih ramai muka baharu ditampilkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sejajar dengan proses transisi kepimpinan yang perlu dimulakan sekarang.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah Mohd Arshad Bistari berkata saranan Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan ketika perbahasan sayap Pemuda bukan bermaksud menidakkan kepimpinan sekarang, tetapi untuk memenuhi kelangsungan perjuangan parti mengharungi cabaran.
“Kita harap pandangan ini tidak disalah anggap sebaliknya dilihat secara matang bagi menyediakan kepimpinan masa depan,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Mohd Arshad yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud menyangkal tanggapan kononnya pendirian Pemuda itu sebagai tindakan `tidak sabar’ kerana perkara itu disuarakan sejak lama dahulu.
Menurutnya, Pemuda UMNO berpendirian bahawa apa yang diungkapkan itu adalah selari dengan agenda Transformasi Nasional (TN50) yang diperkenalkan kerajaan untuk mengangkat generasi muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan.
Sehubungan itu, beliau mengajak pimpinan Pemuda semua peringkat untuk memberi penjelasan kepada peringkat akar umbi mengenai hasrat itu yang ikhlas demi kelangsungan perjuangan parti untuk generasi masa depan. – BERNAMA

