KUALA LUMPUR – Selama 71 tahun ditubuhkan, UMNO yang menjadi tunjang kepada kerajaan pemerintah bukan sahaja berjaya menggalas tanggungjawabnya dengan baik, bahkan telah memberi seribu ‘keceriaan’ kepada 32 juta rakyat di negara ini menerusi pelbagai program dan bantuan.
Pelbagai bantuan disediakan kerajaan daripada sekecil-kecilnya sehingga yang paling besar, adalah bagi mensejahterakan kehidupan semua lapisan rakyat, meskipun berhadapan pelbagai fitnah dilemparkan pembangkang termasuk gelaran dedak.
Bagi golongan miskin, bantuan seperti bantuan awal persekolahan menerusi program kembali ke sekolah UMNO dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), nyata memberi keceriaan kerana sekurang-kurangnya ia telah membantu meringankan beban kehidupan.
Bagi kelompok mahasiswa pula, bantuan berupa baucar buku 1Malaysia, Kad Siswa 1Malaysia dan skim pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membolehkan mereka menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan masa yang sama mengurangkan sedikit kos pengajian.
Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), turut memberi keceriaan kepada rakyat keseluruhan yang membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dengan lebih efisien, mesra dan cepat selain menjimatkan masa.
Bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, UMNO menerusi kerajaan telah memperkenalkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) sekaligus membolehkan rakyat khususnya golongan muda yang berpendapatan rendah dan sederhana memilikinya.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hanya UMNO yang mampu memberikan keceriaan kepada keseluruhan rakyat dengan memberikan perhatian penuh soal kebajikan seawal usia bayi hingga warga emas.
“Dalam masyarakat Melayu, UMNO menjadi institusi tempat mereka bersandar bukan bergantung…daripada anak kecil dilahirkan, ibu yang mengandung, soal pelajaran, sakit demam hinggalah ke universiti dan perumahan serta kebajikan lain, ia adalah hasil daripada perjuangan UMNO,” katanya kepada Bernama di sinihari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata bukan sahaja dalam soal pembangunan fizikal yang diberikan penekanan, sebaliknya sektor pertanian juga dipandang serius oleh kerajaan sehingga mampu memasarkan produk buah-buahan tempatan iaitu durian Musang King ke China yang kini mencecah RM180 untuk 400 gram.
Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perjuangan UMNO sejak dari dahulu untuk membantu rakyat tidak pernah terpadam malah diperkasakan lagi dengan mewujudkan Biro Kebajikan UMNO (Bikum).
“Sama ada rakyat mendapat nikmat secara terus daripada parti atau nikmat daripada pelbagai agensi kerajaan, yang sebahagian besar dicadang oleh parti ini. Sebab itu rakyat sebenarnya memperoleh pelbagai bentuk bantuan yang akhirnya menceriakan mereka kerana mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
“Tidak banyak negara yang memberi bantuan kepada rakyat sedemikian rupa seperti yang dilaksanakan UMNO baik dalam aspek pendidikan, pembangunan prasarana, kesihatan dan sebagainya yang kalau kita nak sebut satu persatu tidak tersebut kita,”kata Shamsul Anuar yang juga merupakan Pengerusi PTPTN.
Penjawat awam Mohd Fadzil Azma Mat Saad, 33, yang menerima biasiswa pendidikan berkata ia banyak membantu dirinya ketika melanjutkan pengajian sekaligus mengurangkan kerisauan mengenai kos pembiayaan pengajian.
“Selain itu saya juga melihat inisiatif kerajaan menerusi UMNO yang mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) amat membantu khususnya kepada keluarga yang berpendapatan rendah mendapatkan barang keperluan yang berkualiti dengan harga murah. Ini sudah tentulah mengembirakan,” katanya. – BERNAMA

