KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tawaran kadar kompaun khas kepada orang ramai yang belum menjelaskan notis kompaun kerana melakukan kesalahan lalulintas di ibu negara.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, tawaran itu bertujuan mengelakkan mereka dikenakan tindakan mahkamah dan disenaraihitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jelas beliau, tawaran kompaun khas RM20 diberikan bagi kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna motosikal, RM30 bagi kereta dan RM50 bagi kenderaan berat seperti lori, bas dan lain-lain.
“Tawaran kadar khas ini berkuatkuasa mulai 15 Disember 2017 dan berakhir pada 28 Februari 2018. Pesalah lalu lintas disaran menggunakan kesempatan ini untuk menjelaskan notis-notis kompaun yang masih belum dijelaskan. Bayaran boleh dilakukan di kaunter bayaran DBKL.
“Bagaimanapun, kadar kompaun khas ini tertakluk kepada kes-kes kesalahan lalu lintas sahaja dan tidak untuk kes yang telah dibawa ke mahkamah atau kes yang telah disenaraihitamkan oleh JPJ,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fadzilah dalam pada itu berkata, DBKL telah membawa 38,897 kes notis kompaun untuk didakwa di mahkamah dan sehingga Oktober lalu, sebanyak 4,732 kes telah disenaraihitamkan oleh JPJ.
Menurut beliau, sebanyak 1,170,953 notis kompaun dikeluarkan sehingga Oktober lalu dan cuma 179,466 telah diselesaikan melibatkan kutipan sebanyak RM8,821,361. – MYNEWSHUB.CC

