PESHAWAR – Sekumpulan penyerang bersenjata yang menyamar dengan memakai burqa menyerbu sebuah kolej pertanian di sini dan membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang serta mencederakan 35 lain.
Polis dan pasukan tentera yang mengepung Institut Latihan Pertanian di barat laut Peshawar mengambil masa hampir dua jam untuk membunuh semua penyerang.
Jurucakap Taliban Pakistan, Mohammad Khorasani, mengaku kumpulannya bertanggungjawab atas serangan itu.
Katanya, sasaran utama mereka ialah rumah keselamatan milik agensi Perkhidmatan Perisikan Dalaman tentera.
Ketua Polis Peshawar, Tahir Khan berkata, penyerang tiba di kampus institut terbabit menggunakan beca automatik dengan berpakaian burqa, iaitu pakaian lazim dikenakan kaum wanita rantau itu.
“Mereka menembak dan mencederakan pengawal keselamatan sebelum berjaya memasuki kampus terbabit,” katanya.
Seorang penuntut yang cedera, Ahteshan ul-Haq berkata, kampus institut itu lazimnya dihuni hampir 400 penuntut lain namun ramai memilih untuk pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti hujung minggu agak panjang kali ini.
“Kami sedang tidur apabila terdengar bunyi tembakan. Saya terjaga dan dalam sekelip mata, kelihatan orang ramai lari bertempiaran,” katanya. – Reuters/BH ONLINE

