SEREMBAN – Sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia tidak menjadi negara ‘Taliban’ ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pernah bersama dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, negara juga tidak menjadi ekstrem apabila lahirnya Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.
“Momokan ini adalah naratif lapuk yang cuba dimainkan semula oleh Pakatan Harapan (PH) demi meraih undi simpati,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Choo Seong berkata, persefahaman BN-PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pula adalah satu persefahaman strategi politik.
Menurut beliau, ia bukanlah sebuah gabungan rasmi seperti Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat yang pernah disertai oleh PKR, PAS dan DAP.
Justeru, katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan, sebaliknya PH patut gembira dan bersyukur dengan persefahaman BN-PN yang seiring dengan semangat ‘perpaduan’
Katanya, apa yang sebenarnya perlu dirisaukan oleh jentera PH adalah kegagalan pentadbiran kerajaan PH di Negeri Sembilan.
“Antara kerosakan yang ditinggalkan ialah krisis Perlembagaan yang sangat membimbangkan dan negeri tidak membangun.
“Negeri Sembilan semakin mundur di bawah PH. Infrastruktur asas diabaikan, manakala banyak jalan raya rosak dan berlubang.
“Ketiadaan peluang pekerjaan akibat kegagalan merancakkan ekonomi negeri menyebabkan golongan muda terpaksa berhijrah keluar dari Negeri Sembilan demi kelangsungan hidup,” katanya. – MYNEWSHUB


