KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 13,003 orang pada pukul 5 petang ini berbanding 13,101 mangsa pada 1 tengah hari tadi.
Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok, Machang dan Kuala Krai ditutup selepas kesemua 526 mangsa daripada 146 keluarga dibenarkan pulang pada petang ini, bagaimanapun sebanyak 61 PPS masih dibuka di lima jajahan setakat ini.
Namun dalam masa yang sama, Pasir Mas terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir kepada 10,129 orang daripada 4,183 keluarga petang ini berbanding 9,609 mangsa daripada 3,971 keluarga pada 1 tengah hari tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 42 PPS di jajahan berkenaan.
Di Tumpat, seramai 1,406 mangsa daripada 473 keluarga dipindahkan ke tiga PPS, 828 mangsa daripada 247 keluarga ditempatkan ke lapan PPS di Pasir Puteh, 462 mangsa daripada 124 keluarga berada di empat PPS di Kota Bharu dan 178 mangsa daripada 56 keluarga di empat PPS di Tanah Merah.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan menurun kepada 10.39 meter pada 4 petang ini berbanding 10.46 meter pada 12 tengah hari tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula terus menunjukkan peningkatan apabila mencecah 3.72 meter berbanding 3.71 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya ialah 2.50 meter.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat tengah hari tadi manakala cuaca petang ini dilaporkan mendung. – BERNAMA