KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Pahang, Perak dan Kelantan semakin baik pada keseluruhannya dengan jumlah mangsa pagi ini terus mencatat penurunan kepada 22,219 orang berbanding 23,772 malam tadi.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 14,719 orang yang kini ditempatkan di 65 pusat pemindahan dalam enam daerah berbanding 15,824 mangsa malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata semua daerah menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir dengan daerah Pekan kini sebanyak 9,783 orang diikuti Maran (2,618 orang), Kuantan (1,012 orang), Temerloh (985 orang), Bera (284 orang) dan Jerantut (37 orang).
Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 4,297 orang daripada 1,162 keluarga kini di 22 pusat pemindahan, berbanding 4,745 mangsa daripada 1,325 keluarga malam tadi.
Menurut Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Perak, jumlah mangsa banjir di Perak Tengah sebanyak 3,268 orang manakala di Hulu Perak (511 orang), Hilir Perak (301 orang), Manjung (160 orang) dan Kuala Kangsar (57 orang).
Sementara itu di KELANTAN, jurucakap MKN negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 3,203 orang seperti malam tadi dalam empat jajahan iaitu Kuala Krai (1,747 orang), Gua Musang (1,157 orang), Tanah Merah (199 orang) dan Machang (100 orang). – BERNAMA

