JOHOR BAHRU – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba menyeludup keluar dan masuk ke negara ini, ditahan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, dekat sini malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kesemua mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita itu ditahan secara berasingan dalam Op Pensura/Landai yang dilaksanakan di kawasan hutan tepi pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar bermula 11.30 malam.
“Kesemua yang ditahan merupakan rakyat Indonesia berumur lingkungan 30 hingga 60-an dengan empat daripadanya didapati cuba menyeludup keluar ke negara asal, manakala selebihnya dipercayai baharu mendarat di negara ini dengan menaiki bot pancung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khiu berkata siasatan awal mendapati kesemua PATI itu tidak mempunyai dokumen, tinggal melebihi masa dan cuba keluar serta masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.
Mereka dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Beliau menegaskan PPM akan terus mempertingkatkan risikan dan operasi di kawasan itu bagi membanteras sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI menggunakan jalan laut. – BERNAMA

