• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Friday, June 12, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Cara Malaysia Amalkan Pembalakan Lestari

oleh Ahmad Albab
21/11/2017
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

IPOH – Dalam memastikan pengurusan lestari sumber hutan negara, Malaysia seperti negara lain di dunia sebenarnya sudah mengamalkan teknik-teknik pembalakan yang direka khas sejak lama dahulu untuk mengelakkan kerosakan besar kepada hutan akibat pembalakan.

Bahkan dengan mengguna teknik ini hanya pokok yang ‘matang’ sahaja akan ditebang manakala pokok balak yang masih muda akan dibiar terus membesar hinggalah tiba masa yang sesuai.

Inilah teknik yang dinamakan ‘Selective Management System’ (SMS), satu daripada inisiatif yang terkandung dalam amalan ‘Sustainable Forest Harvesting’ (SFM) yang sudah lebih 100 tahun digunapakai di negara ini, iaitu sejak tahun 1901.

Penulis sempat menyertai rombongan wartawan ‘2017 MTC Familiarisation Programme for Local Journalists’ dari 27 hingga 28 Septuntuk melihat sendiri pengamalan SMS di Hutan Simpan Bukit Kinta di Hulu Kinta, Perak.

PEMBALAKAN LESTARI

Pembalakan lestari sudah lama diamalkan di seluruh dunia. Di negara-negara maju, perkataan ‘pembalakan’ digantikan dengan ‘penuaian’ sebagai tanda industri ini mengamalkan standard yang amat tegar dalam pengambilan hasil balak hutan.

Di Malaysia, SFM dikawalselia oleh beberapa bentuk garis panduan. Antaranya ‘Manual Perhutanan 2003’, ‘MS-ISO 9001:2008 – Pengurusan Pengeluaran Kayu Secara Berkekalan Bagi Hutan Darat Asli Di Hutan Simpanan Kekal [MS-ISO 9001:2008], Kod Amalan Penghasilan Hutan Darat Asli Semenanjung Malaysia dan Garis Panduan Jalan Hutan 2010.

Semua ini dilakukan demi memastikan industri perkayuan di Malaysia setaraf dengan negara lain yang berikrar mematuhi Objektif Tahun 2000 ITTO.

ITTO adalah singkatan kepada International Tropical Timber Organisation yang dianggotai oleh 73 negara pengeluar dan pengguna produk kayu. Antara negara pengeluar kayu yang menjadi ahli ITTO ialah Filipina, Malaysia, Indonesia, Brazil, Guatemala, Peru, Congo, Gabon, Ghana, Liberia dan Togo.

Manakala negara-negara pengguna seperti Albania, Australia, China, Austria, Denmark, Finland, Itali, Latvia, Belanda, Poland, Sepanyol, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Melalui Objektif Tahun 2000 ITTO, negara-negara pengeluar dan pengguna bersetuju untuk menjalankan perniagaan berasaskan kayu menggunakan sumber kayu daripada hutan yang disahkan mengamalkan sistem penuaian secara lestari.

Ia diharap dapat meningkatkan permintaan bagi produk kayu tanpa impak besar kepada alam sekitar, sekali gus menggalakkan dan meluaskan penerimaan SFM di negara-negara anggota ITTO.

TUAI, BUKAN TEBANG

Dalam pengamalan SMS, pokok-pokok balak hanya dituai bila sudah cukup matang menggunakan perkiraan tertentu. Ini amat berbeza dengan sistem pembalakan yang bersifat terbuka yang biasa difahami orang ramai.

“Pokok yang boleh dituai ditentukan melalui saiz dan jenis pokok. Bagi pokok jenis damar (dipterocarp) saiz minimum garis pusat batang pokok yang diizinkan tebang mestilah sekurang-kurangnya 65 sentimeter.

Bagi pokok bukan damar, saiz minimum garis pusat batang pokok yang diizinkan tebang adalah 55 sentimeter. Penentuan saiz ini sesuai dengan tahap tumbesaran pokok,” kata Penolong Pengarah Kanan (Hutan Asli), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Yusoff Muda.

Selepas pembalakan selesai, sesuatu tapak pembalakan akan dibiarkan tanpa disentuh antara 25 hingga 60 tahun untuk membolehkan pokok dan kawasan sekitar tumbuh kembali sekali gus memberi peluang kepada pokok balak yang masih kecil untuk membesar.

Pematuhan SFM tidak terhad kepada proses pembalakan sahaja, kata Siti Syaliza Mustapha, Pengurus Bahagian Pengurusan Hutan, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Menurut beliau lagi, penilaian impak sosial juga adalah satu daripada kriteria SFM.

“Kajian Impak Sosial (SIA) perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas aktiviti penuaian hasil hutan. Sebagai contoh, impak kepada kehidupan masyarakat Orang Asal serta polisi memastikan ada kuota untuk pekerja daripada kalangan penduduk setempat dalam sesuatu projek penuaian hutan demi memastikan aktiviti ekonomi mereka terpelihara,” kata beliau.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Sebelum pembalak dibenarkan masuk untuk menjalankan kerja, pihak JPSM terlebih dahulu akan masuk untuk membuat audit di sesuatu tapak penuaian balak.

Merekalah yang akan membuat rekod jenis pokok dan jumlah pokok yang ada, serta akan menandakan pokok mengikut kategori masing-masing. Secara umum ada tiga kategori iaitu pokok tebangan, pokok ibu (pokok simpanan) serta pokok yang boleh ditebang untuk membuat laluan ke tapak pembalakan.

Semua pokok ini dipaku dengan kad penanda mengikut kod warna khas dan pada pokok ibu akan ditanda dengan semburan cat bagi mengelakkan kekeliruan ketika proses membalak.
Pembalak hanya boleh menuai pokok tebangan. Sekiranya mereka dengan apa juga cara mencederakan, mencacatkan atau lebih teruk lagi menebang pokok ibu, mereka boleh dikenakan hukuman.

Sebelum pokok ditebang, ia akan terlebih dahulu diukur dan saiznya dicatatkan. Waktu rombongan penulis hadir ke tapak tebangan, penebangan sebatang pokok Rengas dengan ukur lilit 65 sentimeter sedang dilakukan.

Pokok yang telah tumbang terlebih dahulu akan diukur panjangnya dan direkodkan sebelum dipotong dengan panjang 26 kaki (kira-kira sembilan meter) setiap potongan. Kertas penanda pokok dipakuk pada setiap potongan pokok untuk memudahkan proses deklarasi dan pengecaman dilakukan ketika batang-batang balak dibawa keluar.

Pemantauan berterusan dibuat pegawai-pegawai JPSM bagi memastikan pembalak menjalankan kerja mengikut garis panduan yang ditetapkan JPSM demi mengelakkan kesan buruk kepada alam sekitar.

DEKLARASI DI BALAI

Semua batang balak ini kemudiannya dibawa ke lapangan pengumpulan khas yang dikawal selia oleh JPSM menggunakan lori. Di sinilah letaknya Balai Pemeriksaan Hutan, tempat pegawai JPSM menjalankan pemeriksaan akhir sebelum ‘Pas Memindah’ dikeluarkan, yang memberi kebenaran untuk mengangkut balak ke kilang pemprosesan.

Di lapangan ini jugalah biasanya berlaku proses jual beli antara pembalak dengan peraih balak (biasanya pihak pengilang) yang mahu melihat dahulu kualiti balak sebelum membelinya.

Di balai, pegawai JPSM yang bertugas akan menjalankan kerja pengiraan cukai yang dikenakan kepada syarikat balak. Nilai cukai yang dikenakan bergantung kepada jenis pokok yang dituai.

Jika segalanya berjalan lancar, pegawai di balai akan menanda kayu balak menggunakan ‘cop hasil’, iaitu satu tukul khas yang ditempa dengan lambang JPSM dan nombor identiti pegawai JPSM yang bertanggungjawab.

Pas Memindah yang dikeluarkan pula membolehkan JPSM menjejak destinasi kayu-kayu balak untuk memastikan mereka sampai ke kilang yang sepatutnya. Ini amat perlu bagi memastikan setiap kayu mempunyai ‘sijil lahir’ yang mengesahkan ia telah dituai mengikut standard SFM di samping mengelakkan salah guna kayu untuk tujuan yang tidak sepatutnya terutamanya aktiviti penyeludupan. – BERNAMA

Tags: Pembalakan
Share200Tweet125SendShare

Related Posts

Kerajaan Didesak Campur Tangan Kes Pembalak Ceroboh

30/04/2019
0

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan didesak untuk campur tangan dalam kes pencerobohan pembalak di tanah adat orang asli di Kampung...

Orang Asli Halang Pembalakan Diugut Dengan Senapang

07/03/2019
0

PENDUDUK Orang Asli kaum Temiar di Kampung Tasik Asal Cunex dekat Gerik, Perak hidup dalam ketakutan apabila mereka mendakwa diugut...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd