BANGKOK – Ekonomi Thailand meningkat dengan cepat pada suku ketiga tahun ini, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus berbanding dengan 3.8 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan ini telah dipacu oleh lonjakan dalam eksport dan kenaikan berterusan penggunaan swasta, perbelanjaan kerajaan dan jumlah pelaburan, umum Lembaga Pembangunan Sosial dan Ekonomi Negara (NESDB) hari ini.
“Ekonomi Thailand mencatatkan pengembangan sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017,” kata Ketua Setiausaha NEDSB, Porametee Vimolsiri dalam satu sidang media hari ini.
Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi bagi 2017 dijangkakan berada pada 3.9 peratus, katanya.
Eksport dijangka meningkat sebanyak 8.6 peratus , manakala jumlah pelaburan dan penggunaan swasta akan naik, masing-masing pada 3.2 peratus dan 2.0 peratus.
Porametee berkata, pengeluaran perkilangan, borong dan runcit, elektrik, gas dan bekalan air termasuk sektor perikanan, semua berkembang pada kadar yang lebih cepat dalam suku ketiga.
Sektor pertanian mengekalkan pertumbuhan yang tinggi sementara sektor pengangkutan, komunikasi, hotel dan restoran telah berkembang baik kecuali pembinaan yang merekodkan penurunan.
Porametee berkata pada tahun depan, ekonomi Thailand diramal akan mencatatkan pertumbuhan antara 3.6 hingga 4.6 peratus, disokong oleh pemulihan ekonomi global, pecutan pelaburan awam dan swasta yang bertambah baik manakala eksport dijangka berkembang sebanyak 5.0 peratus. – BERNAMA

