KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia perkhidmatan e-commerce, Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDCSB) memberi sumbangan sebanyak 1,000 dapur gas kepada mangsa banjir di Kelantan hari ini.
CDCSB dalam satu kenyataan media memberitahu, sumbangan itu dihulurkan melalui misi bantuan mangsa banjir bersama Kementerian Kewangan.
“Program ini diketuai oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang akan menyerahkan barangan keperluan di tiga lokasi iaitu di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.
“Barangan keperluan yang akan diserahkan adalah seperti selimut dan toto. Bagi pihak CDCSB, kami akan menyerahkan 1,000 unit dapur gas,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban mangsa banjir di Kelantan selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut.
“Misi bantuan CDCSB akan diteruskan dengan aktiviti turun padang bersama 400 sukarelawan Kementerian Kewangan pada Jumaat ini di Kelantan,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc

