ALOR SETAR – Pasukan perubatan akan dihantar ke setiap pusat pemindahan banjir untuk memastikan perkhidmatan kesihatan diberikan kepada mangsa banjir yang memerlukan rawatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Beliau berkata kementerian mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diguna pakai di pusat pemindahan termasuk daripada aspek menjamin sumber air dan makanan sentiasa bersih.
Selain itu pusat pemindahan juga perlu dipastikan selamat daripada penyakit berjangkit dan bawaan air, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar lama di sini, hari ini.
Dr. Subramaniam berkata setakat ini kemudahan kesihatan tidak terjejas dengan banjir yang sedang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah dan kemudahan itu masih boleh berfungsi secara optimum. – BERNAMA

