• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, April 2, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Melindungi Sang Belang Di Belum-Temenggor

oleh Ahmad Albab
01/11/2017
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Pada Jun 2015, Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) menyenaraikan Harimau Malaya sebagai “spesies terancam” dan keadaan ini berada pada paras kritikal.

Populasi sang belang atau harimau di negara ini semakin berkurangan kepada sekitar 3,000 ekor pada 1950an kepada 500 ekor sahaja pada 2003.

Pada masa ini, hanya terdapat 250 Harimau Malaya di dalam hutan di Semenanjung Malaysia dan tidak ada harimau dilaporkan di Sabah dan Sarawak.

Meskipun pemburuan haram adalah penyebab utama di sebalik kepupusan haiwan berkenaan dari hutan negara ini, terdapat faktor lain seperti pembukaan jalan yang merentas hutan serta kegiatan pembalakan.

Menurut Dr Mark Rayan Dharmaraj, Ketua Program Pemuliharaan Harimau, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, kewujudan jalan balak memudahkan pemburu haram masuk terus ke hutan.

“Di mana sahaja ada kegiatan pembalakan, pasti juga ada jalan dan ini memudahkan lagi untuk pemburu masuk lebih jauh ke kawasan pedalaman hutan.”

Sebagai haiwan pemangsa yang menduduki tempat tertinggi rantaian makanan, harimau memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi habitatnya, yang turut didiami spesies mangsa haiwan itu seperti rusa dan babi hutan.

Di Malaysia, harimau dibunuh atau diburu kerana kulitnya manakala beberapa anggota tertentu badannya digunakan untuk perubatan tradisional.

Menurut WWF-Malaysia, dianggarkan 103 ekor harimau menjadi mangsa pemburu di antara tahun 2000 hingga 2015, berdasarkan penemuan bahagian badan yang dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Selain itu, dari 2010 hingga 2013, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja pemuliharaan haiwan liar turut menemui sebanyak 2,241 jerat dan 1,728 khemah haram pemburu.

MENGAWASI HUTAN

Mark Rayan menegaskan pengawasan hutan secara menyeluruh perlu dijalankan dengan lebih kerap bagi memastikan kegiatan pemburuan haram tidak terus berleluasa.

Pada masa yang sama beliau memahami kesukaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk berbuat demikian kerana kekurangan tenaga penguatkuasa hutan atau renjer.

Beliau dan pasukannya, dengan kerjasama masyarakat Orang Asli setempat, turut membantu mengawasi kawasan Hutan Belum-Temenggor di utara Perak.

“WWF mempunyai pasukan sendiri yang menjalankan rondaan anti-pemburuan untuk membantu pihak berkuasa. Kami membersihkan kawasan hutan daripada jerat yang dipasang oleh pemburu,” beliau memberitahu Bernama, lalu menambah bahawanya beliau sendiri pernah menemui harimau yang terperangkap dalam jerat haram.

Kata beliau, maklumat yang terkumpul ketika rondaan hutan kemudiannya akan disampaikan kepada Perhilitan.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 40 hingga 50 ekor harimau di hutan Belum-Temenggor yang seluas lebih 3000 km persegi itu.

Mark Rayan berkata, hutan Belum-Temenggor adalah habitat yang kondusif bagi harimau kerana ia kaya dengan sumber makanan seperti rusa selain hutan itu juga bersambung dengan hutan-hutan simpan kecil lain seperti Korbu dan Piah. Ini membolehkan harimau berpindah sekiranya perlu.

Kawasan lain di Semenanjung Malaysia yang dikenalpasti sebagai habitat harimau ialah Taman Negara yang meliputi tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta Hutan Simpan Endau-Rompin di selatan tanah air.

MENINGKATKAN PENGURUSAN HUTAN

Sementara itu, pihak berkuasa negeri Perak menunjukkan komitmen terhadap usaha pemuliharaan harimau pada Julai tahun ini apabila mendaftarkan Taman Negeri Royal Belum yang seluas 1175 km persegi itu – terletak dalam kawasan Hutan Belum-Temenggor – untuk mendapat akreditasi Conservation Assured, Tiger Standards (CATS).

CATS adalah kaedah pemuliharaan antarabangsa untuk menentukan piawai minimum bagi pengurusan lebih berkesan spesies yang menjadi sasaran di samping menggalakkan penilaian piawaian di kawasan pemuliharaan serta yang dilindungi.

Piawai pemuliharaan spesies spesifik yang pertama adalah untuk harimau. WWF dan rakan kongsinya menyusun piawai ini dan diterima oleh Global Tiger Forum.

Taman Negeri Royal Belum adalah tapak pemuliharaan CATS harimau pertama di Malaysia juga di Asia Tenggara.

Pengurus Besar (pemangku) Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Asmah Mohd Nawawi menyifatkan CATS sebagai pendekatan baru dalam usaha pemuliharaan harimau.

“Ia memberi tumpuan menetapkan piawai bagi menilai usaha pengurusan dan perlaksanaan.

“CATS akan turut membantu pihak yang terlibat dalam pemuliharaan harimau untuk memahami sasaran serta kawasan yang memerlukan penambahbaikan atau lebih perhatian,” katanya.

KAJIAN BERTERUSAN
​​​​​​​
Sementara itu, Mark Rayan berkata akreditasi CATS akan memakan masa yang panjang kerana lebih banyak kajian perlu dibuat untuk menentukan jumlah sebenar harimau yang masih ada di Malaysia.

“Kita juga perlu mengkaji kesan perubahan yang sering berlaku di habitat harimau akibat kegiatan pembalakan serta pembinaan jalan raya di samping kekurangan haiwan yang menjadi sumber makanannya, ” katanya.

Hasil dapatan kajian saintifik itu akan membantu mengenalpasti langkah yang boleh dijalankan untuk meningkatan pengurusan hutan serta pemuliharaan spesies yang terancam ini, tambahnya.

Oleh yang demikian, usahasama antara semua pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, pihak pengurusan hutan negeri dan NGO amat penting, khususnya dalam memenuhi matlamat Pelan Tindakan Harimau Kebangsaan.

Mark Rayan berkata harimau mudah membiak jika berada dalam habitat yang tidak diganggu dan mempunyai makanan yang mencukupi.

Jelas beliau lagi, harimau akan menjauhi manusia dan hanya menyerang orang sekiranya haiwan itu cedera, sakit atau semakin tua. – BERNAMA

Tags: harimau
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Penangkapan Harimau Di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan: Amaran Dari Alam

Penangkapan Harimau Di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan: Amaran Dari Alam

11/01/2026
0

Penangkapan seekor harimau di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan, berhampiran Ipoh, mengingatkan kita tentang hakikat yang kian mendesak: konflik manusia–hidupan liar...

Kurang 48 Jam, Lelaki Myanmar Jadi Mangsa Kedua Maut Dibaham Harimau Di Gua Musang

Kurang 48 Jam, Lelaki Myanmar Jadi Mangsa Kedua Maut Dibaham Harimau Di Gua Musang

12/11/2023
0

GUA MUSANG : Seorang lelaki Myanmar menjadi mangsa kedua yang maut dibaham harimau belang kurang dari tempoh 48 jam dalam...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd