ALOR SETAR – Pelajar lelaki yang dimasukkan ke hospital pada 23 Disember lalu akibat jangkitan penyakit kencing tikus (Leptospirosis) telah menunjukkan perkembangan positif dan kini beransur pulih.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan berkata, Fahmi Abd. Razak, 15, daripada Kampung Kubu, Kuala Nerang, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah sedar selepas koma selama dua minggu.
“Setelah hampir dua minggu dirawat di ICU, dia sudah sedarkan diri dan tidak lagi memerlukan alat bantuan pernafasan bermula 1 Januari lalu, selain telah dibenarkan mengambil diet lembut,†katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, memandangkan keadaan kesihatan Fahmi semakin positif dan stabil, pihak HSB bercadang memindahkan pelajar itu ke wad biasa dalam jangka masa terdekat.
“Sampel darah yang diambil bagi pengesahan jangkitan Leptospirosis yang telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor turut mengesahkan remaja itu telah dijangkiti penyakit terbabit,†kata Norhizan. – BERNAMA
