KUALA LUMPUR – Pengurangan dua mata peratus kadar cukai pendapatan individu dalam Bajet 2018 akan menyediakan pendapatan boleh guna tambahan RM1.5 bilion, yang boleh dibelanjakan oleh rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kerajaan akan terus meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, selain mengurangkan jurang pendapatan dalam negara,” kata Perdana Mentei semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rayat hari ini.
Beliau berkata pengurangan cukai ini akan memberi manfaat kepada 2.3 juta pembayar cukai, terutama kumpulan 40 pertengahan atau khususnya isi rumah pendapatan sederhana dengan pendapatan kurang daripada RM9,000, akan dikira berdasarkan kumpulan cukai pendapatan berikut:
Kumpulan Cukai Pendapatan Pengurangan cukai
RM20,001 hingga RM35,000 daripada 5 peratus kepada 3 peratus.
RM35,001 hingga RM50,000 daripda 10 peratus kepada 8 peratus.
RM50,001 hingga RM71,000 daripada 16 peratus kepada 14 peratus.
Najib berkata langkah pengurangan ini untuk kumpulan cukai pendapatan antara RM20,000 kepada RM70,000, akan meningkatkan pendapatan boleh guna pembayar cukai sehingga RM1,000, dengan lebih 261,000 individu tidak lagi perlu membayar cukai. – BERNAMA

