KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan pengangkutan untuk memastikan limpahan ekonomi yang seimbang antara bandar dan luar bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, untuk tujuan itu beberapa langkah dilaksana antaranya pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek transit aliran massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
“Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau ‘Circle Line’, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
Selanjutnya bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021.
“Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos RM5 bilion,” katanya semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM230 juta diperuntukkan untuk Projek Central Spine Road pada tahun depan bagi meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan bahawa Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai, yang tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.
Menyentuh mengenai perkhidmatan awam pula, perdana menteri berkata sebanyak RM3 bilion disediakan untuk Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel.
Katanya, sebanyak RM1 bilion pula diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi.
“Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, RM45 juta dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometrik untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres,” katanya.
Dalam pembentangan bajet itu, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, membina lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.
“Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baharu di Pulau Tioman sedang dijalankan oleh kerajaan dan untuk merancakkan pembangunan di Labuan, kerajaan akan membuat ‘feasibility study’ bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah,” katanya. – BERNAMA

