KUALA LUMPUR – Rapid KL akan melanjutkan waktu perkhidmatan operasi tren dan Bas Rapid Transit (BRT) sempena program Citrawarna di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek yang merupakan stesen terdekat dengan Dataran Merdeka akan dibuka sehingga 1 pagi untuk membenarkan orang ramai memasuki stesen dan meneruskan perjalanan pulang.
“Para penumpang boleh memasuki stesen LRT Masjid Jamek sebelum 1 pagi dan keluar ke mana-mana stesen LRT, monorel, MRT dan BRT – laluan Sunway.
“Para penumpang yang mahu menggunakan MRT boleh bertukar di ketiga-tiga stesen integrasi Pasar Seni, Merdeka dan Maluri untuk meneruskan perjalanan ke rangkaian MRT,” menurut kenyataan itu.
Program Citrawarna, yang dijadual bermula 7 malam sebelum persembahan utama pada 8.30 malam, dijangka tamat pada 11 malam. – BERNAMA

