PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam di negara ini, supaya sentiasa berusaha memperkukuh dan meningkatkan kefahaman mengenai pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjauhi segala bentuk ajaran yang melampau dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
“Pendekatan kesederhanaan yang menjadi tunjang manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu terus dipertahankan agar elemen yang boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian ummah dapat dielakkan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1436H/2015M di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak mudah mempercayai berita palsu yang tersebar menerusi media sosial.
Sebaliknya, beliau berkata semaklah dahulu sebarang berita yang diterima dengan sumber yang sahih seperti mana yang dianjurkan oleh agama Islam.
“Allah SWT sendiri menggelarkan orang yang menyebarkan berita palsu sebagai orang yang fasik,” katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam di negara ini untuk memperkukuhkan tautan ukhuwah yang amat dituntut oleh agama Islam selain sentiasa bersatu padu demi keamanan, kesepaduan dan kemajuan negara kita.
“Saya optimis bahawa perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat adalah tunggak kepada kejayaan ummah dan negara kita,” katanya – BHarian Online

