SELAIN daripada susunan lagu, muzik video juga kadang-kala akan mempengaruhi pendengar untuk terus meminati lagu tersebut.
Bagi Shiha Zikir, apa yang ditunjukkan di dalam muzik video single terbaharunya, Jagakan Dia merupakan kisah benar yang dilalui oleh kenalan rapatnya sendiri.
Single itu telah dicipta sepenuhnya oleh penyanyi Ippo Hafiz dan Shiha sendiri telah berlakon di dalam muzik video itu bersama dengan aktor Saharul Ridzuan.

“Muzik video tersebut menampilkan jalan cerita seorang wanita yang kehilangan anak serta suaminya.
“Kenalan saya pernah melalui dugaan tersebut dan saya ada bercerita kepadanya mengenai muzik video saya.
“Selepas muzik video saya selesai, saya ada tunjukkan kepadanya. Dia menangis kerana teringatkan tragedi yang pernah ditempuhi satu masa dulu,” kata Shiha dipetik daripada Astro Gempak.
Menurut Shiha, itu merupakan kali pertama dia bekerjasama dengan Saharul dan dia sendiri mengakui senang bekerja dengan hero pujaan ramai tersebut.

“Ketika saya merangka jalan cerita muzik video tersebut, saya terus teringatkan Saharul kerana perwatakannya sangat sesuai dengan jalan cerita yang saya cuba tampilkan.
“Saya memang tidak kenali Saharul sebelum ini lantas saya memberanikan diri menghubunginya menerusi laman Instagram. Saya tak sangka dia bersetuju apabila saya mengusulkan cadangan itu,” katanya lagi.
Tambah peserta program Mentor musim ke-5 itu, dia memuji sikap profesional Saharul dan mereka berjaya menyiapkan penggambaran muzik video itu dalam masa satu hari sahaja.
Dalam perkembangan terbaharu, Shiha telah dilantik bagi menjadi duta produk kecantikan Airish London selama setahun. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah
