JITRA – Kementerian Pertahanan akan membina enam poliklinik khas untuk bekas anggota dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat di seluruh negara untuk memastikan kebajikan golongan berkenaan sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata keputusan membina poliklinik itu adalah hasil daripada pertemuan bersama 70 anggota Persatuan Veteran ATM sebelum ini yang menekankan isu kebajikan dan kesihatan bekas anggota yang perlu diberi perhatian kerajaan.
“Buat permulaan peruntukan telah diluluskan dan tender akan dibuka dalam tempoh terdekat untuk pembinaan poliklinik ini di Kem Penrissen di Kuching manakala yang lain masih dalam proses.
“Poliklinik ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan dan doktor pakar serta mesin hemodialisis,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan cek tunggakan pencen dan sumbangan khairat kematian berjumlah RM4,167 kepada waris anggota tentera yang meninggal dunia, di Kampung Padang Panjang di sini hari ini.
Anggota itu Muhammad Ikhwan Azim Azmi, 23, meninggal dunia akibat terkena kencing tikus pada 8 Jun lepas.
Perajurit muda ini meninggal dunia selepas enam bulan berkhidmat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson yang melayakkan Allahyarham menerima pencen terbitan RM312 sebulan yang diterima waris Allahyarham.
Mohd Johari berkata kerajaan juga melihat terdapat keperluan untuk menambah hospital tentera di kem-kem tentera.
Beliau berkata setakat ini terdapat lima hospital yang beroperasi di kem tentera iaitu di Kem Angkatan Tentera Lumut, Kem Tentera Sungai Besi di Kuala Lumpur, Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar, Kem Terendak di Melaka dan Kem Syed Sirajuddin di Gemas.
Sementara itu bapa Allahyaraham, Azmi Zain, 52, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ATM yang bertungkus-lumus menguruskan jenazah anak sulungnya itu.
“Saya sekeluarga menerima kematian anak sulung saya ini dengan hati terbuka walaupun masih menjalani latihan dan (wang) pencen Allahyarham yang diterima kami sekeluarga akan digunakan sebaik mungkin,” katanya. – BERNAMA