Memandangkan ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk menyumbang pakaian sama ada baru atau terpakai untuk mangsa banjir di beberapa negeri, kami kongsikan cadangan oleh Presiden Action Caring Team Malaysia, Datu Haji Mustafa Kamal yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya.
Sebaiknya, kategorikan terlebih dahulu pakaian yang hendak didermakan mengikut jenis atau saiznya dan bungkus bagi memudahkan mangsa banjir memilih pakaian tersebut.
Cara ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa mereka memilih, tetapi juga memudahkan pihak sukarelawan yang kebanyakannya terpaksa mengasingkan terlebih dahulu baju sebelum mengagihkan kepada mangsa.
Selain itu, ia dapat mengatasi masalah pakaian yang berselerak di pusat pengagihan sumbangan selepas dipilih oleh orang ramai.

Mungkin tidak semua di antara kita dapat pergi ke lokasi untuk membantu pasukan sukarelawan, tapi sekurang-kurangnya kita cuba untuk meringankan sedikit tugas mereka.
Pendek kata, sama-samalah membantu… – MYNEWSHUB.CC
Oleh: ELZA


