RASANYA sekarang ini nama Yusuf Iskandar, Lara Alana dan Aaisyah Dhia Rana sering menjadi perhatian netizen setiap kali mereka melayari media sosial.
Nama Arrian, anak penyanyi Tomok turut menjadi perhatian walaupun tidak mempunyai akaun laman sosial sendiri. Sudah pasti ramai netizen yang menantikan gelagat dan aksi-aksi comel mereka pada setiap hari.
Jika sebelum ini, Lara pernah muncul dengan program Lara Oh Lara! dan Aaisyah pula dengan Little Princess Aaisyah, kini Arrian dan Andra pula bakal muncul dengan program realiti Rockstar Junior: Arrian & Andra.
Apa yang menariknya ialah lagu tema program tersebut iaitu Rockstar Junior digubah sendiri oleh anak sulungnya itu iaitu Arrian Shah Akid yang baru berusia lima tahun.
“Saya memang sedang cari idea untuk hasilkan lagu untuk program itu dan tiba-tiba suatu hari isteri sempat merakamkan suara Arrian sedang menyanyi.
“Apabila saya dengar ia menarik dan terus saya cari melodi tambahan di piano dan terhasil sebuah lagu gabungan kami berdua,” katanya dipetik mStar Online.
Bukan itu sahaja, dengar-dengarnya Arrian turut menyanyikan lagu tema tersebut dan merupakan duet pertamanya bersama ayahnya sendiri. Lagu itu pun telah dirakam pada Ogos lalu.
Tambah penyanyi lagu Bagaikan Bidadari ini lagi, dia dan isterinya, Rahayu Abas telah berbincang dan membuat kata sepakat sebelum memutuskan untuk memaparkan aktiviti seharian dua orang anak lelakinya itu untuk tontonan umum.
“Memang lama saya berbincang dengan pihak produksi sebelum bersetuju kerana banyak perkara perlu saya pertimbangkan termasuklah apa pandangan orang apabila program itu disiarkan nanti.
“Tetapi saya sudah bersedia dengan apa sahaja kritikan dan bukannya saya tidak biasa dengan kata-kata negatif orang sepanjang 19 tahun karier saya dalam bidang seni,” katanya.
Menurut Tomok lagi, program ini seakan perkongsian aktiviti seharian Arrian dan Andra seperti dilakukannnya di laman Instagram dan disebabkan itu dia tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan mereka dalam program televisyen.

Dalam pada itu, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan menyatakan program ini turut membolehkannya dan isteri berkongsi tentang bagaimana mereka menjaga dan membesarkan kedua-dua anak mereka itu.
“Kami tidak pernah menggunakan bantuan pembantu dalam membesarkan anak-anak dan menerusi program ini kami ada berkongsi tips keibubapaan mengikut pengalaman kami dalam pelbagai situasi berbeza.
“Tiada salah atau betul cuma kami kongsi apa yang positif dan baik yang mana maklumat itu mungkin berguna dan memberi manfaat kepada ibu bapa lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam masa yang sama program ini sekaligus menjawab segala pertanyaan yang diterima mereka berdua mengenai cara-cara penjagaan anak-anak mereka sehinggakan ramai yang berpendapat Arrian dan Andra sangat cerdik dalam usia yang masih kecil lagi.
Program ini akan mula bersiaran pada 11 Oktober, setiap Rabu pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) menerusi slot eBu. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim