SERDANG – Kerajaan menyasarkan eksport sebanyak 30,000 tan metrik tuna ke Jepun setiap tahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Setakat ini ujar beliau, negara kita hanya mampu mengeksport sebanyak lima hingga 10 ribu tan metrik tuna ke Jepun atas kekangan beberapa faktor.
“Antara aspek yang perlu diambil perhatian adalah dari segi keupayaan untuk menangkap ikan tuna kerana kita memerlukan jumlah vessel (bot besar) yang mencukupi.
“Selain itu proses pendaratan ikan tuna dari Lautan Hindi dan aktiviti pemprosesan tuna juga memerlukan kelengkapan logistik, kita masih kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Demonstrasi Pemotongan Ikan Tuna Segar di Hall A, Maeps, di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, kuota permit kapal yang diberikan oleh Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) sebanyak 135 kuota perlu digunakan sebaiknya oleh usahawan tempatan.
“Kuota yang diberikan masih belum digunakan pada tahap yang maksimum kerana beberapa faktor seperti perlesenan, pendaratan dan pelabuhan yang masih perlu diperbaiki.
“Jadi perkara-perkara ini akan kita ambil serius bagi meningkatkan industri tuna negara kerana jika bersungguh-sungguh ia mampu memberi pulangan lumayan kepada negara,” ujarnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

