SEKALUNG tahniah diucapkan kepada pelakon dan pengacara popular, Afdlin Shauki dan pengasas kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri diatas darjah kebesaran yang diterimanya semalam.
Baca: Afdlin Kini Bergelar Datuk, Aliff Syukri Datuk Seri
Afdlin telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, manakala Aliff pula dikurniakan anugerah Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Afdlin menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai pembakar semangat kepada dirinya untuk lebih bergiat aktif dalam menjayakan pelbagai kerja amal menerusi Yayasan Afdlin Shauki yang baharu ditubuhkan.

“Saya sudah bergiat aktif dalam bidang ini kira-kira 26 tahun. Pemilihan sebagai antara penerima anugerah ialah penghargaan daripada institusi kesultanan dan kerajaan negeri Pahang kepada anak seni.
“Namun begitu, penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata. Ada bidang lain yang juga diberi perhatian seperti kerja amal kerana saya juga ada membabitkan diri dalam kerja amal.
“Apapun saya melihat gelaran ini datang dengan tanggungjawab besar supaya kemuliaan gelaran ini dipelihara,” katanya dipetik laporan BH Online.
Pelakon yang berusia 46 tahun ini turut mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang memperkecilkan dan mempertikaikan penganugerahan gelaran kepada penggiat seni tanah air sebagai pendapat individu.
“Saya rasa mereka yang memilih mempunyai sebab tertentu dalam pemilihan siapa yang layak menerima darjah atau pingat.
“Bagi saya, ini (gelaran) adalah pendorong untuk meningkatkan lebih banyak kerja amal,” ujarnya.

Aliff pula menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sangat bermakna dan tidak menyangka untuk mendapat pencapaian setinggi ini.
“Saya sangat terharu apabila dimaklumkan akan menerima anugerah ini. Sebagai anak Pahang dan dilahirkan di Kuala Lipis kira-kira 30 tahun lalu, ini adalah detik yang sangat bermakna dan sukar dilupakan,” katanya.
Mereka berdua antara 155 penerima anugerah darjah kebesaran daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

