KANGAR – Sebanyak 7,982 petani yang mengusahakan sawah seluas 12,033 hektar di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis mendakwa mereka menanggung beban kerana terpaksa membeli benih padi sah tanpa subsidi pada harga hampir sekali ganda.
Pengerusi Persatuan Peladang (PPN) Perlis, Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar berkata pembekal menjual kepada petani pada harga RM52 satu kampit 20 kilogram (kg) berbanding harga subsidi RM28 sahaja.
“Mereka (pembekal) mendakwa tidak menerima peruntukan walaupun kerajaan telah mengumumkan tambahan sebanyak RM25 juta untuk subsidi benih padi bagi musim 2/2017,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Musim 2/2017 di Perlis bermula September ini dan berkahir pada Januari 2018.
Beliau berkata para petani terpaksa membeli benih kerana telah membajak sawah mereka selain tidak mahu terlepas jadual penanaman yang ditetapkan oleh MADA.
Katanya jumlah benih yang diperlukan untuk keseluruhan 12,033 hektar sawah di luar kawasan MADA di Perlis adalah sebanyak 83,028 kampit 20kg.
“Saya berharap kerajaan menyalurkan segera peruntukan kepada pembekal benih padi sah subsidi agar petani tidak terbeban untuk menggunakan benih padi sah,” tambahnya. – BERNAMA