REALITI data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan 200 juta penduduk dunia beragama Islam kini hidup berdepan dengan pelbagai krisis kemanusiaan tidak wajar diabaikan.
Justeru, Maal Hijrah bukan bererti menutup buku realiti nasib ummah di peringkat global terutama yang berdepan krisis kebuluran di Afrika, isu pelarian di Asia Barat dan tragedi penghapusan etnik di Asia Selatan.
Sejumlah 18 juta umat Islam di Somalia, Habsyah, Sudan dan Niger, kini di ambang maut akibat krisis kebuluran. Jutaan angka lagi berdepan nasib yang sama di zon sub-sahara.
Enam juta pelarian Syria juga menghadapi krisis kemanusiaan dan kini bertebaran di kem-kem pelarian di Turki, Lubnan, Jordan serta berkhemah sementara di Perancis, Jerman, Itali dan Greece.
Manakala, jutaan lagi bakal pelarian Afrika berkumpul di Libya dan menanti kesempatan bergadai nyawa menaiki bot tanpa piawaian keselamatan semata-mata untuk menyeberangi Laut Mediterranean menuju Eropah.


Terkini, setengah juta pelarian Rohingya pula sudah berada di sempadan Bangladesh berdepan krisis kekurangan makanan dan akses kesihatan.
Dalam tempoh terdekat pasti berlaku bencana akibat masalah kesesakan dan pencemaran. Semua krisis ini menjadi perhatian NGO Islam yang sentiasa memberikan perhatian dalam menangani nasib umat Islam dilanda krisis.
IRM meneruskan kempen Maal Hijrah dengan program Dana Waqaf Air Somalia yang bertujuan mendirikan dua telaga air bersih di Mogadishu.
CEO IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin kini meningkatkan kempen program tersebut bagi mencapai jumlah kutipan RM1.5 juta untuk memulakan kerja-kerja menggali dua buah telaga secepat mungkin.


“Ia bukan telaga tradisional,” kata Zairulshahfuddin sambil menambah: “Telaga ini sangat moden kerana setiap satu mampu menampung keperluan 20 ribu pengguna.”
Malah, katanya lagi: “Bekalan air telaga ini juga akan disalurkan melalui sistem perpaipan moden ke hospital, sekolah dan kawasan pertanian.”
Somalia kini berdepan masalah kebuluran kerana bencana kemarau panjang. Manakala, pelbagai wabak penyakit maut akibat air tercemar turut menjadi ancaman.
Justeru, kata Zairulshahfuddin, projek telaga berteknologi tinggi ini satu keperluan mendesak bagi menyelesaikan isu bekalan air yang berkait rapat dengan masalah pertanian dan kesihatan di Somalia.
“Kami merayu rakyat Malaysia menderma kerana telaga ini ialah projek waqaf. Waqaf bererti, selagi telaga ini membekalkan air bersih di Mogadishu dan penduduk Islam menikmati kebaikannya, amal derma kita semua kekal menjadi pahala,” katanya. – Mynewshub.cc/HAA

