TAHNIAH kami ucapkan buat aktres jelita, Acha Septriasa yang baru sahaja bergelar ibu selepas selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, semalam.
Baca: Acha Septriasa Bunting Pelamin Anak Pertama
Acha atau nama sebenarnya Jelita Septriasa dikhabarkan berdepan dengan proses kelahiran yang memakan masa sehingga 28 jam di Royal Hospital for Women Sydney, Australia.

Bagaimanapun, Acha dikatakan selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3,220 gram itu secara normal dan mereka kini berada dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, bayi yang cantik itu sihat dan selamat dilahirkan pada jam 12.14 (waktu Sydney) dengan berat 3220 gram,” kata ibunya, Rita Emza dipetik media Indonesia.
Difahamkan, Rita telah terbang ke Sydney sekitar empat hari lalu untuk memberi semangat buat Acha mengharungi saat pertarungan nyawa itu.

Jelas Rita lagi, proses kelahiran cucunya itu memakan masa yang agak lama kerana hospital di Australia tidak menyarankan wanita untuk bersalin secara pembedahan.
“Ia adalah normal berjuang selama 28 jam. Kalau di sini (Australia) wanita memang disarankan untuk bersalin secara normal walaupun sakit,” jelas Rita.
Tambahnya lagi, pelantun lagu Berdua Lebih Baik itu tidak dibenarkan sama sekali untuk datang ke hospital sebelum pintu rahimnya benar-benar terbuka seluas tujuh sentimeter.
Sehingga kini, Acha dikatakan masih belum lagi mendedahkan nama puteri comel itu.

Acha telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Vicky Kharisma pada Disember 2016 selepas sembilan tahun menyemai benih cinta. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

