PESERTA Akademi Fantasia musim keenam, Lufya Omar dulu pernah menjadi tumpuan netizen apabila dikatakan wajah suaminya mirip dengan watak kartun animasi Barbie Ken.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu kini sedang mengalami detik-detik gembira apabila Lufya dilaporkan hamil Mei lalu.
Baca: Lufya AF Sah Hamil Anak Sulung
Namun, baru-baru ini Lufya ada memuat naik satu posting dengan khabar yang kurang enak didengar ke laman Instagramnya.

Menerusi posting itu, Lufya menyatakan yang dirinya ditimpa musibah apabila terjatuh dari pentas selepas menjadi juri jemputan untuk program Dai musim kelima tersebut.
“Selepas tamat program Dai live semalam (Ahad) saya mengalami musibah terjatuh dari stage lebih kurang satu meter tingginya,” tulisnya.
Namun, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mengharapkan netizen mendoakan kandunganya yang berusia lapan bulan itu berada dalam keadaan sihat dan kecederaannya beransur pulih.

Menurutnya, insiden ini terjadi dengan begitu pantas semasa dia diajak untuk bergambar bersama juri-juri yang lain.
“Tidak dijangka keadaan ini berlaku terlalu pantas sejurus selepas habis program semalam, saya diajak bergambar oleh @datinmaziahalmas bersama owner Siti Khadijah.
“Tetapi belum sempat bergambar, saya terjatuh dari pentas. Dalam keadaan tidak menyedari ruang yang saya berdiri sudah berada di hujung pentas (tiada penghadang) dan lantai hitam yang saya jangkakan pentas rupanya lantai menyebabkan saya tidak perasan dan terjatuh,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ini menyatakan yang dia dan kandungannya masih berada dalam pemerhatian doktor.
Pelakon ini juga berterima kasih kepada pihak produksi yang membantunya semasa ditimpa musibah itu.
Diharapkan selepas ini Lufya lebih berhati-hati dengan keadaannya yang sedang sarat itu. Semoga Lufya dan kandungannya berada dalam keadaan baik dan dipermudahkan urusannya. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

