KOTA BHARU – Ibu bapa kepada tujuh suspek remaja yang disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu, tidak akan didakwa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, khabar angin bahawa ibu bapa suspek konon akan turut didakwa di mahkamah yang tersebar ketika ini hanyalah spekulasi semata-mata.
“Ibu bapa suspek tersebut sebenarnya tiada kena mengena pun dengan kes ini, malah tindakan tujuh suspek ini boleh dikategorikan sebagai kesalahan juvana.
“Semua pihak, termasuk media tidak perlu membuat spekulasi bukan-bukan mengenai perkara ini. Kami akan kemukakan saranan kepada pihak pendakwaan berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Peringkat Polis Diraja Malaysia 2017 di Kampus Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.
Baca: 7 Ditahan Bakar Pusat Tahfiz Sebab Dendam Diejek
Juga: Tragedi Tahfiz – 6 Suspek Pernah Dibuang Sekolah
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan berikutan kekangan, termasuk tidak boleh mengambil keterangan pelajar yang cedera di hospital.
Beliau berkata, pihaknya juga menunggu laporan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kimia serta forensik polis, yang memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.
“Bagaimanapun, kertas siasatan ini akan disiapkan secepat mungkin memandangkan kes ini sudah menjadi ‘high profile’,” kata Mohamad Fuzi lagi. Dalam insiden kebakaran itu 21 murid dan dua warden terbunuh.
Mengenai perkembangan terkini isu kebocoran maklumat ujarnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun pihaknya sudah ambil keterangan anggota dan pegawai polis terbabit, termasuk merampas telefon bimbit mereka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
