MELAKA – Satu pusat pemindahan sementara ditutup manakala dua lagi pusat masih dibuka yang menempatkan 52 mangsa banjir di sini setakat tengah hari ini, berbanding 122 mangsa pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata pusat pemindahan Balai Raya Kampung Panchor yang menempatkan pelajar dan pengajar Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah, ditutup pada 10.15 pagi tadi.
Beliau berkata pusat itu ditutup selepas pelajar dan tenaga pengajar madrasah itu memilih untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Jumlah mangsa banjir di dua lagi pusat pemindahan tidak berubah iaitu 47 mangsa daripada lapan keluarga di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal dan lima mangsa daripada dua keluarga masih lagi berteduh di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan itu berada dalam keadaan baik dan mendapat bantuan secukupnya daripada agensi-agensi yang terlibat. – BERNAMA

