KUALA LUMPUR – Iran, Rusia dan Turki bersetuju untuk mewujudkan zon pengenduran di Syria untuk tempoh enam bulan bagi mematuhi perintah gencatan senjata dan meneruskan perang menentang terrorisme.
Zon pengenduran itu termasuk wilayah Idlib dan bahagian tertentu di kawasan utara wilayah Homs, Latakia, Hama, Aleppo, serta beberapa bahagian di kawasan selatan Syria.
Ia berikutan mesyuarat dua hari antara sesama mereka di Astana, Kazakhstan pada 14 dan 15 September.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu berkata pewujudan zon pengenduran itu tidak akan menjejas kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan integriti wilayah Syria.
Sebuah Pusat Penyelarasan Bersama Iran-Rusia-Turki akan juga dibentuk bagi menyelaras aktiviti pasukan kawalan pengenduran di zon berkenaan, kata kenyataan itu dikeluarkan oleh Kedutaan Rusia di sini hari ini.
“(Iran, Rusia dan Turki) menegaskan perlunya pihak yang berkonflik mengambil langkah membina keyakinan, termasuk pembebasan tahanan/mangsa culik.
“Serta penyerahan jasad serta pengcaman orang hilang, mewujudkan keadaan lebih baik untuk proses politik dan gencatan senjata kekal,” katanya.
Mereka turut menegaskan perlunya zon pengenduran itu digunakan untuk akses kemanusiaan yang pesat, selamat dan lancar.
Mesyuarat antarabangsa peringkat tinggi akan datang mengenai Syria akan berlangsung bulan depan di Astana, kata kenyataan itu. – BERNAMA

