KUALA LUMPUR – Seorang lagi pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kebakaran pusat itu Khamis lepas dibenarkan pulang malam tadi.
Adib Baqir, 15, yang mengalami kecederaan di bahagian tangan, siku dan badan dibenarkan pulang oleh pihak hospital kira-kira 9.30 malam tadi.
Ibu mangsa, Wahida Ramli, 49, berkata Adib kini semakin pulih namun masih teringat kejadian kebakaran pada awal pagi itu.
“Dia (Adib) semakin stabil cuma doktor minta banyakkan berehat,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, jurucakap HKL ketika dihubungi Bernama mengesahkan yang Adib dibenarkan pulang dan ketika ini hanya 3 mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital itu.
Semalam, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd Zain dilaporkan berkata 3 mangsa dibenarkan pulang pada Sabtu selepas keadaan mereka stabil.
Seramai 21 pelajar dan 2 guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan 3 tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.
Sabtu lepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan 7 remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan. – BERNAMA

