PELABUHAN KLANG – Dua bilik kuarters guru milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Jemaah, Jalan Pandamaran musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata kebakaran itu mengakibatkan 2 bilik kuarters guru berukuran 50×100 kaki persegi musnah 100% dalam kejadian kira-kira 11.00 pagi tadi.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.06 pagi dan tiba 4 minit kemudian di lokasi kejadian. Ketika bomba sampai, api sedang marak, bagaimanapun ia dapat dikawal sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.
Alimaddia berkata insiden kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kerugian harta benda kerana kuarters tersebut kosong dan tidak lagi digunakan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya. – Bernama
*Video sekadar hiasan…

