PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘Abdullah’.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai tiga anggota panel hakim membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.
“Biarlah mahkamah tertinggi membuat keputusan tentang isu ini. Selepas ini semua orang perlu mematuhinya.
“Kami membenarkan rayuan ini atas tiga persoalan (undang-undang),” kata Raus yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Aziah Ali di sini hari ini .
Beliau memerintahkan perkara itu dirujuk bagi pengurusan kes pada pendaftar mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu secepat mungkin.
Raus membenarikan tiga daripada empat persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh perayu JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan Malaysia. – BERNAMA

