KUALA LUMPUR – Demi mengumpul dana bagi membantu insan seni yang di dalam kesusahan, Yayasan Artis 1Malaysia (YAIM) mengeluarkan siri plat nombor kenderaan khas iaitu A1M.
Menurut Presiden YA1M, Datuk DJ Dave, yayasan berkenaan telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penjualan secara terbuka plat nombor siri edisi terhad ini.
“Idea untuk menjual plat nombor ini mendapat kelulusan daripada JPJ pada bulan Ogos lalu. Penjualan ini bagi mengumpul dana dan disalurkan kepada anak seni yang sakit, kematian dan melebihi usia 60 tahun.
“Selain itu, ia juga bersempena dengan genap usia lima tahun penubuhan YA1M sendiri. Kami sentiasa mencari peluang untuk menambah dana bagi membantu artis Malaysia yang kurang bernasib baik selama ini.
“Hasil jualan akan digunakan sepenuhnya bagi bantu artis kita yang memerlukan dan bukannya untuknya kegunaan yayasan,” katanya ketika majlis sidang media praperasmian plat nombor A1M di Tune Hotel PWTC, di sini hari ini.
Menurut DJ Dave, YA1M sentiasa mencari peluang untuk menambah dana yayasan dan menjelaskan bahawa dana ditawarkan itu sangat penting apatah lagi ia menolong artis seluruh tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sejak ditubuhkan pada 2012, kami sudah bantu lebih 900 artis. Penggiat seni boleh beli plat ini dengan diskaun khas buat mereka. Untuk orang awam pula, mereka cuma perlu bayar 10 peratus wang pendahuluan,” katanya.
Sebanyak 1,000 nombor siri plat khas ini ditawarkan bermula dari nombor A1M 1 hingga A1M 1000. Tender untuk pembidaan harga plat nombor A1M dibuka mulai pada hari ini sehingga 2 Oktober akan datang.
Beliau menambah, borang pembelian plat nombor tersebut juga boleh didapati dengan memuat turun menerusi laman sesawang www.plata1m.com.my atau terus hadir sendiri di Tune Hotel PWTC, Jalan Putra.
Pemenang terpilih ujar DJ Dave, malahan berpeluang untuk menghadiri majlis pelancaran dan makan malam istimewa bersama-sama dengan ramai artis popular tanah air setelah tarikhnya bakal ditetapkan kemudian.
Jualan dan pemasaran plat nombor khas A1M ini jelas DJ Dave dikendalikan secara eksklusif oleh D’City Planners Sdn. Bhd. yang dilantik oleh pihak YA1M. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

