KUALA SELANGOR – Pusat pemindahan banjir di Surau Ladang Tuan Mee di sini, yang menempatkan 45 orang mangsa banjir dari Kampung Seri Sentosa, ditutup pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam kenyataan berkata kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air akibat hujan, yang melimpah ke kediaman mereka surut.
“Kesemua mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan itu selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam dibenarkan pulang selepas tinjuan kami mendapati air surut sepenuhnya.
“Susulan itu, pusat pemindahan di Surau Ladang Tuan Mee ditutup secara rasminya kira-kira pukul 9.30 pagi,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah ke kawasan selamat sekiranya kediaman mereka dinaiki air semula. – BERNAMA

