AWAL tahun lalu, kecoh apabila Altimet bakal bersara dalam bidang nyanyian. 27 November 2018 tarikh yang dipilih sebagai genap ulang tahunnya yang ke-40.
Baca: Impian Tertunai, Altimet Umum Berhenti Nyanyi
Khabarnya, penyanyi lagu Amboi ini bakal mengeluarkan dua buah album terakhir sebelum persaraannya kelak.
“Sebelum berundur, saya akan merakamkan dua album, satu akan keluar pada tahun ini dan satu lagi pada tahun hadapan.
“Selepas itu, tiada lagi album daripada Altimet dan ini sudah dirancang sejak sekian lama,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Menurut pemilik nama Ahmad Abdul Rahman ini lagi, dia juga akan mengeluarkan single kolaorasi dengan penyanyi rap baharu menerusi buah tangan terakhirnya itu. Namun, identiti penyanyi tersebut masih dirahsiakan.
“Sedikit informasi mengenai single pertama yang dipetik daripada album ini, saya bakal muncul dengan single baru menyaksikan kolaborasi dengan penyanyi rap baharu yang akan didedahkan identitinya kelak.
“Apa yang boleh saya perkatakan mengenai penyanyi ini, biarpun masih baru dan belum dikenali, namun dia memiliki kualiti vokal yang baik,” tambahnya lagi.

Namun, jangan salah faham, Altimet hanya akan bersara dari bidang nyanyian dan bukan bersara terus dari industri muzik. Dia tetap akan aktif di belakang tabir dengan menghasilkan karya-karya untuk artis tempatan lain.
Terdahulu, Altimet mengumumkan yang dia bakal fokus pada bisnes selepas hampir semua impiannya tercapai selepas dia bergerak solo sejak tahun 2007 lagi.
Dia juga sedang sibuk menguruskan kedai gunting rambut Joe Flizzow dan bercadang untuk membuka beberapa cawangan lagi selepas ini.
Diharapkan kita masih dapat melihat karya-karyanya di dalam industri walaupun nyanyiannya tidak lagi kedengaran di corong-corong radio. All the best! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
