Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di beberapa buah negeri, syarikat penerbangan tambah murah AirAsia melancarkan kempen bantuan Banjir Pantai Timur berupa perkhidmatan membawa barang dan pekerja bantuan secara percuma ke kawasan yang terlibat.
Kempen tersebut juga dilihat sebagai usaha pengumpulan derma bagi kerja pemulihan selepas banjir bagi negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Kota Baharu dan Terengganu.
Memetik laporan Awani, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Kamarudin Meranun berkata setakat ini, AirAsia telah mengangkut sejumlah bekalan makanan sumbangan Biro Penerangan Pemuda Umno ke Kota Baharu dan syarikat penerbangan itu berjanji untuk mengangkut barang bantuan sumbangan Mercy Malaysia.
“Doa kami mengiringi semua mereka yang terjejas oleh banjir. Kami berjanji untuk melakukan segala yang termampu bagi membantu meringankan kesengsaraan dan kesusahan yang dialami mangsa serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Agensi bantuan yang memerlukan sokongan pengangkutan udara dipelawa menghantar permohonan mereka ke [email protected] dan maklumat tentang penyerahan serta syarat kargo akan diberi selepas dibuat penilaian.
Syarikat penerbangan itu berkata ia juga akan bekerjasama dengan Mercy Malaysia untuk melancarkan usaha mengutip derma dikenali sebagai Tabung Bantuan Banjir Pantai Timur AirAsia bagi membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan untuk aktiviti pemulihan.
Kempen itu akan dimulakan pada 31 Dis bagi tujuan mengumpul dana untuk kerja membersih dan membaiki sekolah dan hospital selepas banjir.
Sementara itu, Bank Rakyat hari ini mengumumkan bahawa pelanggannya yang terjejas oleh banjir akan diberi penangguhan pembayaran balik pembiayaan.
Pengarah Urusannya Datuk Mustafha Abd Razak berkata ia termasuk penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan, di samping penangguhan semua tindakan litigasi dan untuk mendapatkan kembali bayaran bagi akaun tertunggak.
“Program bantuan banjir ini berkuat kuasa serta merta dan kami harap ia akan meringankan beban kewangan yang ditanggung pelanggan dalam saat-saat sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata penangguhan itu ditawarkan mengikut kes atas permintaan pelanggan yang terjejas dan maklumat mengenainya akan disiarkan melalui laman sesawang Bank Rakyat serta notis yang disiarkan di cawangan terjejas.
Maklumat lanjut tentang kemudahan itu boleh didapati dengan menghubungi pusat panggilan Bank Rakyat melalui talian 1-300-88-12265-MYNEWSHUB
Sumber: Awani,AgendaDaily
Oleh: hzqahmd

