PUTRAJAYA – Lebih 4,000 penjawat awam berjalan kaki sejauh 1.6 kilometer di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya hari ini sebagai menzahirkan rasa patriotik sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.
Sepanjang perjalanan dari Dataran Putrajaya, Presint 3 dan berakhir di Dataran Gemilang, Presint 4 di sini, mereka mengibarkan Jalur Gemilang dengan diiringi lagu-lagu patriotik.
Turut serta dalam acara ‘Gemilang Walk 2017’ itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; ketua setiausaha pelbagai kementerian antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.
Program Gemilang Walk itu disemarakkan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, nyanyian lagu Negaraku serta persembahan flash mob oleh Jabatan Penerangan.
Mengenai Gemilang Walk itu, beliau berkata program berkenaan merupakan antara 12 program utama yang dilaksanakan secara kerjasama strategik dengan 24 kementerian dan berjaya menyemarakkan semangat patriotisme serta cinta yang mendalam terhadap tanahair dalam kalangan penjawat awam.
“Saya berasa teruja dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan penjawat awam dan ini amat membanggakan. Gelora rasa yang sedang berkemuncak ini diharapkan tidak hanya datang sekali sahaja tetapi sentiasa berkobar hingga ke akhir hayat kita.
“Berbekalkan semangat inilah, maka penjawat awam akan sentiasa sanggup berkorban mempertahankan kedaulatan dan terus berjuang dalam arena kepakaran masing-masing bagi memberi perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan negara,” katanya. – BERNAMA

